Pages


.

Thursday, November 24, 2011

Kursus KSSR Dunia Seni Visual Tahun 2 2012











Add caption

Refleksi Pengajaran Mikro

REFLEKSI MIKROPENGAJARAN
Pendahuluan
Guru dalam bilik darjah menggunakan berbagai teknik dan kaedah untuk membolehkan murid melakukan proses pembelajaran.    Aktiviti pembelajaran seperti  set  induksi, penerangan, penyoalan, tunjukcara,  variasi rangsangan, peneguhan,  penggunaan gerak-geri , gerak-isyarat, sikap(‘gesture’) dan perlakuan bukan lisan seperti senyum , anggukan kepala dan gerakan tangan dan sebagainya akan menentukan keberkesan guru. Guru yang berkesan akan memilih kemahiran-kemahiran yang sesuai dengan umur dan kebolehan murid serta objektif pelajaran, juga perlu memikirkan organisasi dan disiplin bilik darjah. Pengajaran mikro membolehkan guru  melatih diri dengan satu kemahiran pada satu masa, dan apabila satu kemahiran itu telah dikuasai, barulah dapat digabungjalinkan kemahiran-kemahiran yang diperlukan dalam pengajaran.  Pengajaran mikro juga dapat meningkatkan latihan dan kesedaran terhadap teknik pengajaran.
Ringkasan mikropengajaran
            Saya telah menjalankan penajaran mikro terhadap murid-murid Tahun 1 Jed bagi mata pelajaran Matematik dengan tajuk Bentuk Dua Matra dalam masa sepuluh minit. Saya menggunakan bahan bantu belajar berbentuk gambar, kad gambar dan kad perkataan. Saya memperkenalkan murid-murid kepada bentuk dua matra dengan menggunakan contoh bentuk asal yang dibina sendiri oleh saya. Semasa memperkenalkan bentuk tersebut, saya meminta murid menyebut nama bentuk tersebut dengan kuat, ini bertujuan supaya murid dapat mengingati nama-nama bentuk tersebut dengan cepat. Seterusnya saya meminta  semua murid  membaca kad perkataan bentuk dua matra bersama-sama.
Saya memanggil nama beberapa orang murid untuk melekatkan kad gambar yang bersamaan dengan bentuk dua matra yang ditanpal di papan putih. Peneguhan telah diberikan kepada murid tersebut dengan perkataan “bagus” dan “baik”. Saya juga meminta rakan-rakan mereka memberi tepukan  sebagai galakan kerana telah berjaya menyelesaikan tugasan yang diberikan dengan baik. Ini bertujuan supaya murid yang terlibat merasa dihargai oleh guru dan rakan-rakan. Manakala murid-murid lain dapat memupuk nilai murni iaitu menghargai hasil kerja rakan mereka. Semua murid begitu seronok menjalankan aktiviti semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Objektif pengajaran saya telah tercapai untuk memperkenalkan bentuk dua matra kepada murid-murid Tahun 1 Jed. 
KEKUATAN PENGAJARAN
1.    Suara  guru kuat dan jelas semasa sesi pengajaran dan pembelajaran.
Guru mempunyai suara yang kuat dan jelas. Dengan menggunakan suara yang kuat dan jelas semasa penyampaian pengajaran murid dapat mendengar setiap arahan dan penyampaian guru tanpa gangguan.  Sekiranya suara guru tidak kuat, murid tidak dapat mendengar arahan guru dengan jelas dan akan hilang tumpuan terhadap pengajaran guru  pada hari tersebut dan akan menerima gangguan sama ada daripada rakan-rakan di dalam kelas mahupun di luar kelas.  Guru juga tidak perlu mengulang  arahan yang diberikan berulang kali kerana murid boleh mendengar suara guru dengan jelas.

2.    Teknik penyoalan digunakan semasa mengajar.
Kemahiran penyoalan ialah kemahiran yang sangat kompleks berbanding dengan kemahiran yang lain. Saya menggunakan teknik penyoalan semasa mengajar dengan sepenuhnya dan soalan-soalan yang ditanya adalah dari jenis soalan  aras rendah yang tidak memerlukan poemikiran yang kritis dan membina aras kognatif  aras tinggi.   Penggunaan kemahiran penyoalan dapat meningkat tahap pencapaian murid  dan dapat mewujudkan suasana pembelajaran sosial yang berkesan.  Saya memberikan soalan bentuk pendek, padat dan menggunakan perkataan yang mudah difahami oleh murid. Saya mengemukan soalan kepada semua murid dalam kelas, selepas berhenti sejenak, tujukan soalan itu kepada  murid tertentu dengan memanggil nama murid  yang hendak disoal.

Contohnya :

1.     “ Apakah nama bentuk ini?”  Murid dapat faham soalan tersebut dengan mudah dan menyebut nama bentuk yang ditunjukkan seperti segiempat sama, segitiga, segiempat tepat dan bulatan.

2.    “Sebutkan benda- benda  yang berbentuk bulat?”  Murid menyebut objek-objek yang berbentuk bulat seperti muka jam, duit syailing dan sebagainya. Ulang soalan kepada bentuk segiempat sama, segiempat tepat dan segitiga.

3.    “Lekatkan  gambar ini dengan bentuk yang sama di papan putih”. Beberapa orang murid akan dipanggil untuk memadankan gambar objek dengan bentuk dua matra yang betul di papan putih. 

3.    Peneguhan dan pujian kepada murid
Melibatkan satu teknik mengajar yang boleh mengubah perlakuan murid dalam beberapa cara yang positif seperti guru memberi peneguhan dengan senyuman, angguk kepala, memuji murid kerana memberi jawapan yang baik, menggalakkan murid yang lambat belajar supaya terus tekun belajar, atau menulis ‘syabas’ dalam buku murid kerana kerja yang telah disempurnakan.     Peneguhan seperti ini akan membawa kepada perulangan  perlakuan yang  baik dan seterusnya akan membina sikap yang positif . Peneguhan ini boleh diberikan kepada individu, kumpulan atau seluruh kelas. Kajian telah menunjukkan bahawa peneguhan positif seperti pujian untuk jawapan yang belum selesai adalah lebih berkesan daripada peneguhan negatif seperti  ‘itu salah’ atau ‘jawapan kamu tidak tepat’. Murid akan lebih bersemangat sekiranya mendapat pujian. Ini adalah kerana mereka akan merasakan diri mereka dihargai oleh guru dan rakan-rakan meraka.  Bidang utama dalam peneguhan  ialah:

1.    Peneguhan lisan.
Guru boleh menggalakkan murid belajar dengan menggunakan perkataan seperti   ‘baik’, ‘ia’, ‘betul’, ‘itu jawapan yang tepat’,  ‘bijak’,  ‘pandai’, ‘ bagus’, ‘kerja kamu sempurna’, ‘itu adalah cadangan yang baik’,  dan lain-lain peneguahn yang positif. Saya telah menggunakan peneguhan dalam pengajaran saya seperti memberikan kata pujian kepada murid yang dapat menjawab soalan dengan perkataan “bagus” dan meminta semua murid memberikan tepukan kepada murid yang dapat menjawab soalan yang diberikan dengan tepat.

2.    Peneguhan gerakgeri
Guru boleh memberi peneguhan dengan menunjukkan perasaan pada mukanya seperti senyuman, ketawa yang menyukakan, atau menggunakan gerakgeri tubuh badan sebagai isyarat persetujuan, seperti menganggukkkan kepala, mengangkat tangan, angkat bahu, menepuk tangan dan sebagainya. Saya menggunakan peneguhan gerakgeri ini dalam melaksanakan pengajaran saya dimana saya meemberikan senyuman dan menganggukkan kepala kepada murid yang dapat menjawab soalan dan dapat memadankan gambar dengan bentuk dua matra dengan betul. 

KELEMAHAN PENGAJARAN
1.    Tidak menunjukkan objek konkrit kepada murid sebelum memperkenalkan bentuk dua matra.
2.    Bentuk dua matra yang ditunjukkan kepada murid kurang menarik kerana mempunyai warna yang sama.
3.    Tidak meminta murid untuk memadankan kad perkataan dengan bentuk dua matra.
4.    Tidak memberi memberi hadiah kepada murid yang  berjaya menjawab soalan daripada guru.  
PENAMBAHBAIKAN PENGAJARAN
1.    Bahan bantu belajar (BBB)  yang konkrit .
Bahan bantu belajar yang konkrit sepatutnya digunakan terlebih dahulu untuk memperkenalkan bentuk dua matra kepada murid. Sebagai contoh  jam berbentuk bulatan, biskut cream craker, sampul surat dan pembaris segitiga. Guru akan memperkenalkan bentuk-bentuk dua matra yang dapat dilihat daripada benda-benda yang ditunjukkan kepada murid seperti bentuk bulatan pada muka jam dan sebagainya.
Guru juga boleh meminta murid memakai jam tangan kesekolah, membawa biskut dan sebagainya yang mempunyai persamaan dengan bentuk dua matra. Bahan bantu belajar yang berbentuk konkrit akan lebih menarik dan murid akan lebih menghargai bahan tersebut sekiranya bahan bantu belajar tersebut dibawa sendiri oleh mereka. Disamping itu juga murid  dapat menyentuh bentuk  dua matra yang dibawa seperti muka jam tangan yang berbentuk bulatan, sampul surat yang berbentuk segiempat tepat dan sebagainya. Guru juga akan menyebut objek-objek dipersekitaran murid yang manyerupai bentuk dua matra seperti jam dinding, tayar, papan tanda jalan raya, kad hari raya dan sebagainya.

2.    Bahan bantu belajar (BBB) yang menarik.
Saya akan menggunakan warna yang berlainan pada bentuk dua matra  supaya murid lebih tertarik melihat bentuk tersebut. Warna yang ceria akan dapat menarik perhatian  murid, murid sungguh seronok dan memberi respon dengan menjawab soalan-soalan daripada guru.

3.    Murid memadankan kad perkataan dengan bentuk dua matra.
Semasa sesi pengajaran saya, saya tidak meminta murid untuk memadankan kad perkataan dengan bentuk dua matra yang ditanpal di papan putih. Sebaliknya saya sendiri yang meletakkan kad perkataan tersebut. Dalam penambahbaikan proses pengajaran saya ini, saya akan memanggil beberapa nama murid secara bergilir-gilir untuk memadankan kad perkataan dengan bentuk dua matra yang betul. Murid akan rasa lebih seronok dapat melakukan aktiviti bersama guru.

4.    Memberi ganjaran kepada murid.
Saya akan memberikan ganjaran kepada semua murid yang dapat menjawab soalan yang diberikan. Ganjaran tersebut berbentuk hadiah seperti gula-gula  sebagai penghargaan kepada murid yang berjaya menjawab soalan yang diberikan oleh guru. Murid akan rasa lebih dihargai oleh guru dan akan menambah minat murid untuk menyertai setiap aktiviti yang dilakukan di dalam kelas. Pembarian ganjaran akan membuatkan murid merasa lebih seronok dan  bersemangat untuk menyertai setiap aktiviti.
Penutup
Setelah menyenaraikan kelemahan dan kekuatan pengajaran saya, saya dapati perancangan yang sempurna dan masa yang sesuai akan dapat menghasilkan proses pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan, bersemangat dan menyeronokkan. Saya akan mengambil langkah penambahbaikan yang sewajarnya bagi memastikan proses pengajaran dan penbelajaran saya akan menjadi lebih menyeronokkan seterusnya mencapai objektif pengajaran yang ditetapkan.